fbpx

Hospital ReGen Rehab Menawarkan Perkhidmatan Pemulihan Pasca-COVID bagi Individu dan Komuniti Memerlukan


ReGen Rehab menyokong usaha pemulihan COVID-19 dengan komitmen #KitaPulihBersama (#WeRecoverTogether) yang bertujuan ‘Mengembalikan Anda’ ke tahap keupayaan dan kualiti kehidupan optimum

Petaling Jaya, 21 Jun 2021 – Hospital ReGen Rehab (“ReGen Rehab”), hospital rehabilitasi swasta pertama di Malaysia yang berlesen dengan Kementerian Kesihatan Malaysia, bertekad untuk menyediakan rawatan rehabilitasi kepada individu dan komuniti yang memerlukan dalam usaha mengembalikan tahap kesihatan mereka selepas dijangkiti COVID-19. Khidmat ini adalah sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Korporat hospital tersebut. Sejajar dengan tema #KitaPulihBersama (#WeRecoverTogether), ReGen Rehab berhasrat untuk memberikan sinar harapan kepada pesakit dan individu yang telah berjaya sembuh daripada COVID-19, dengan mengembalikan keupayaan fizikal dan kualiti kehidupan mereka ke tahap optimum.

“Di ReGen Rehab, kami berusaha untuk menggalakkan kesaksamaan kesihatan dan menyediakan kemudahan rehabilitasi yang berkualiti untuk individu dan komuniti memerlukan di Malaysia. Dengan inisiatif Tanggungjawab Korporat Rehabilitasi Pasca-COVID yang kami laksanakan bertema #KitaPulihBersama, kami ingin  menyediakan rawatan rehabilitasi untuk mereka yang mengalami kesan pasca-COVID, terutamanya golongan yang paling memerlukan. Mereka akan menjalani rawatan secara beransur untuk mengembalikan keupayaan fizikal, fungsi dan kognitif mereka. Ini adalah teras kepada prinsip ‘Mengembalikan Anda’ (‘Bringing You Back’) kami – untuk menyokong pesakit dan individu mengembalikan keupayaan, dan mendapat peluang terbaik untuk menikmati kehidupan yang berkualiti,” kata Hanafi Salehuddin, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif ReGen Rehab Hospital.

Hanafi menyambung, “Rawatan rehabilitasi ialah elemen penting ke arah pemulihan penuh bagi pesakit yang mengalami sebarang kecederaan, pembedahan atau penyakit, termasuk COVID-19, dalam fasa pasca-akut serta jangka panjang. Baik pesakit pasca-akut yang memerlukan rawatan intensif dan pengawasan rapi dalam persekitaran khas, mahupun mereka yang sudah kembali melakukan aktiviti harian tetapi masih mengalami kesan jangka panjang COVID-19, kami bersedia untuk membantu dalam perjalanan pemulihan mereka untuk mengembalikan kesihatan dan membina semula kehidupan.”

ReGen Rehab melancarkan inisiatif Tanggungjawab Korporat Rehabilitasi Pasca-COVID ini dengan menyantuni kalangan bekas pesakit dan individu yang telah mengharungi COVID-19 dalam komuniti memerlukan. Golongan tersebut bakal menerima rawatan rehabilitasi pesakit luar secara percuma, bagi membolehkan mereka menerima perkhidmatan kesihatan pakar dan pasukan berbilang disiplin ReGen Rehab serta kemudahan khasnya. Tempoh penyertaan dalam inisiatif ini sedang berlangsung sehingga 30 Jun 2021. Berdasarkan penilaian dan keperluan medikal setiap inidividu, para peserta yang layak akan memulakan rehabilitasi mereka mulai bulan Julai, untuk tempoh sehingga tiga bulan.

“Kami bertekad untuk memainkan peranan dalam pemulihan Malaysia daripada COVID-19 dengan menghulurkan bantuan kepada golongan yang paling memerlukan untuk mencapai pemulihan dan mengembalikan mereka kepada keadaan terbaik masing-masing. Memang ada harapan bagi pesakit dan individu yang telah mengharungi COVID-19 untuk pulih dan kembali kepada fungsi dan keyakinan hidup, selepas melalui tempoh kesakitan. Kami menggalakkan penyertaan kalangan tersebut selaras dengan usaha membangunkan ekonomi kesihatan Malaysia sambil #KitaPulihBersama,” tambah Hanafi.

Sindrom Pasca-COVID dan Tujuan Pemulihan Rehabilitasi

Walaupun kebanyakan pesakit COVID-19 kembali pulih dalam masa beberapa minggu, ada yang mengalami sindrom pasca-COVID, yang menimbulkan pelbagai gejala jangka panjang (seperti kelesuan, kesakitan badan dan demam), yang berkekalan sehingga 12 minggu atau lebih selepas jangkitan COVID-19. Juga dikenali sebagai COVID Jangka Panjang atau Long COVID, sindrom ini boleh dialami sesiapa yang pernah mengalami COVID-19, sama ada mereka dimasukkan ke hospital atau tidak, gejala penyakit adalah ringan atau tidak mengalami sebarang gejala.

Datin Dr Lydia Abdul Latif, Ketua Pegawai Perubatan dan Pakar Perubatan Rehabilitasi di ReGen Rehab Hospital berkata, “Dari segi perubatan, kesan COVID Jangka Panjang boleh merangkumi berbilang organ. Akibatnya, bahagian badan yang dijejaskan memerlukan rawatan rehabilitasi sebagai strategi penting untuk mencegah komplikasi medikal, menggalakkan pemulihan dan meningkatkan fungsi fizikal. Kesan pasca-COVID boleh menjejaskan sistem penting badan seperti jantung, paru-paru, otot dan fungsi otak, menimbulkan gejala seperti sesak nafas, kesempitan dada, sakit sendi, hilang tumpuan dan gejala tekanan, yang semuanya boleh dirawat melalui rehabilitasi.”

Memandangkan tahap keparahan dan kemunculan kesan jangka panjang dan pasca-akut dalam pesakit pasca-COVID adalah berbeza-beza, rawatan rehabilitasi perlu disesuaikan mengikut individu. Sebagai penyedia rawatan rehabilitasi pakar, ReGen Rehab Hospital merapatkan jurang keperluan akut dan keperluan masyarakat, dengan kemudahan rehabilitasi pesakit dalam dan juga peralihan lancar kepada rawatan pesakit luar. Menerusi pelbagai program terapi berstruktur yang bertujuan memulihkan fungsi badan, matlamat rawatan rehabilitasi ialah memaksimumkan keupayaan pesakit dan mengembalikan kualiti kehidupan.

Untuk maklumat lanjut tentang inisiatif Tanggungjawab Korporat Rehabilitasi Pasca-COVID ini, sila hubungi ReGen Rehab melalui telefon (03-7626 1388), WhatsApp (019-917 1388) atau e-mel info@regen.rehab.

 

ReGen Rehab Hospital

Regen Rehabilitation International
Sdn Bhd

Jalan Bersatu 13/4
46200 Petaling Jaya
Selangor, Malaysia

Malaysia's first private rehabilitation hospital licensed by the Ministry of Health Malaysia

Follow Us